jump to navigation

Hudud Allah December 20, 2011

Posted by helaianpurnama in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

KETEGUHAN UKHUWWAH KE ARAH ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN December 5, 2011

Posted by helaianpurnama in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, dan para pejuang Islam di seluruh dunia, dari Timur hingga ke Barat, Utara dan ke Selatan.

Firman Allah swt di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 214:

Maksudnya: Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh mala petaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

Islam sangat mengalakkan umatnya agar senantiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwwah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

Maksudnya: Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat ke 13 yang bermaksud:

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Hadith Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah”.

Sabda Rasulullah SAW ;

Bermaksud:“Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya”(Riwayat al-Bukhari)

Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mafhumnya: Bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah SWT pada hari akhirat iaitu :

Pemimpin yang adil
Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah SWT
Orang yang mengingati Allah SWT ketika bersendirian lalu menitis airmatanya
Orang yang hatinya bergantung kepada masjid
Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT semata-mata
Lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah SWT
Orang bersedekah dan memyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan.

——-
Para pembaca yang dimuliakan Allah swt.,

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga para pembaca sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT iaitu dengan membuktikan kita mentaati perintah Allah, mengutamakan ajaran al-Quran dan as-Sunnah, mudah-mudahan diri kita dekat dengan Allah SWT dan memperolehi keberkatan hidup yang berkekalan di dunia dan di akhirat.

Muslimin & muslimat yang dirahmati Allah swt.,

Ukhuwwah dan pengekalan kepada komitmen adalah dua perkara/pernyataan yang berbeza; akan tetapi apabila digabungkan dan diolah kepada pernyataan yang baru mengeratkan ukhuwwah ke arah mengekalkan komitmen yang jitu, pernyataan yang berbeza tadi telah bertukar menjadi suatu pernyataan yang amat penting dan utama.

Lantas terbentuklah suatu pernyataan yang apabila diikrarkan akan mendesak penyebutnya untuk lebih bersemangat menguatkan lagi ukhuwwah dan seterusnya menggerakkan rakan-rakan seperjuangan ke arah mencapai suatu tujuan yang satu, sehinggalah tujuan atau impian itu menjadi suatu realiti.

Perbincangan mengenai ukhuwwah dan komitmen di dalam perjuangan merupakan suatu topik yang amat laris dan tidak pernah selesai dibahaskan, ditulis mahupun dibincangkan di dalam usrah-usrah perlbagai peringkat.  Namun di kesempatan ini, suka untuk penulis cuba menengahkan perspektif tambahan berkaitan konsep ukhuwwah dan dan kelangsungan komitmen.

Para pembaca sekalian,

Beberapa perkataan atau sebutan umum yang sering diucapkan dan mempunyai perkaitan dengan kata ukhuwwah dan komitmen, yang dapat dikongsikan ialah:

sahabat, saudara, kawan, rakan, teman, geng, kumpulan, atau dalam bahasa Inggeris, kita akan berbicara tentang buddies, friendship, partnership, colleagues, mate, brotherhood, solidarity, comradeship dan macam-macam lagi.

Kesemua perkataan atau sebutan yang dinyatakan tadi melibatkan sekurang-kurangnya dua individu berbeza dan kebersamaan kedua-dua individu tersebut jika dihayati adalah memerlukan kepada suatu bentuk ikatan atau rantaian; ikatan yang memastikan tiada berlaku perpisahan dan seterusnya menambahkan erat di antara keduanya.

Apabila sudah berlaku ikatan dan persefahaman, persoalan seterusnya ialah apakah bentuk ikatan yang boleh memastikan tiada berlakunya perpisahan dan akan senantiasa berkekalan.

Adakah suatu ikatan berdasarkan kepada bangsa? asal-usul kampung? hobi? bidang pengajian? kasih-sayang? rasa kasih? rasa kasihan? atau sebenarnya kita memerlukan suatu bentuk ikatan yang lebih kuat yang mendasari keseluruhan bentuk dan cara hidup kita? atau, suatu bentuk ikatan yang didasarkan kepada ke arah pencapaian suatu tujuan yang mulia dan utama? atau ikatan persaudaraan yang diasaskan kepada tuntutan tauhid? atau suatu ikatan yang dibai’ahkan dengan penuh yakin?

Dalam konteks yang mana pula setiap perkataan tadi menjurus kepada fokus para pendokong dan penggerak jamaah sekalian?

Imbas kembali sejarah Hijrah RasululLah saw dan perincikan kesungguhan persaudaraan golongan Ansar membantu golongan Muhajirin.  Di mana dan bagaimana para penggerak dan pendokong jamaah mampu mengaplikasikan iktibar peristiwa tersebut?

Kembali kepada persepsi sebuah pergerakkan, adakah kita boleh kata OK sekiranya kita menyatakan, di dalam sudut harakah atau pergerakkan , atau sebuah movement, kita berkawan? Kawan seperjuangan? rakan atau teman seperjuangan? geng seusrah? saing pergi surau? atau kita selesa membicarakan dalam bentuk saudara seangkatan? comrade? Fitrah berada di dalam sebuah pergerakkan, ianya harus bergerak dan mobile ke arah suatu tujuan, dan seharusnya dua individu di dalam sebuah harakah wajar terikat atas dasar untuk mencapai suatu sasaran yang sama.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah swt,

Di dalam konteks kepimpinan pergerakkan atau harakah, di mana pula letaknya peranan ukhuwwah atau persaudaraan tersebut? apakah pula kaitannya dengan keberkesanan dalam melaksanakan kerja. tugasan atau pematuhan kepada perintah dan arahan kepimpinan? Adakah di sana terdapat pertembungan di antara konsep ukhuwwah dalam perjuangan dengan konsep ketaatan kepada kepimpinan?

Di mana duduknya obeying orders out of comradeship against obeying orders by force?

Bandingkan juga dengan suasana sekiranya di dalam sebuah organisasi atau syarikat yang mengikat para pekerja dengan kepentingan mengaut keuntungan semaksima mungkin.  Kehendak dan kepatuhan kepada pihak pengurusan atas dasar keperluan memastikan gaji bulanan tidak terputus.  Di manakah perbezaan di antara wadah berasaskan keperluan memenuhi tuntutan material hidup dengan asas untuk mencapai keredhaan Allah swt?

Adakah terdapat jaminan bahawa pematuhan kepada arahan dan perintah merupakan suatu bentuk penentu kelangsungan gerakerja harakah? atau keutuhan ukhuwwah ahli-ahli seangkatan menjadi tunjang kepada pematuhan kepada arahan dan seterusnya kelangsungan kepada pencapaian sasaran?

Adakah lebih mudah mentaati arahan dan memberikan komitmen kepada pimpinan yang merupakan sahabat baik kita? atau kita lebih senang dan gembira memenuhi permintaan sahabat-sahabat kita dalam apa jua perkara, walaupun mereka bukannya pimpinan tanzim.  Akan tetapi permintaan mereka dipenuhi kerana keakraban kita dengan mereka, kepercayaan dan rasa hormat kita kepada mereka.

Bagaimana pula sekiranya sahabat-sahabat baik kita adalah para pemimpin yang memimpin? Adakah akan lebih baik komitmen yang kita berikan? disebabkan kasihnya dan belasnya kepada mereka yang terpaksa memikul tanggungjawab kepimpinan atau kepercayaan kepada keputusan mereka disebabkan kita sudah bersama mereka sejak sekelian lama?

Atau pun dari sudut berbeza, sekiranya kita hebat mengemudi, siapa pula yang kita harapkan untuk memastikan haluan yang dituju itu betul dan tepat? Bukankah daripada kalangan sahabat-sahabat dan saudara-saudara seperjuangan kita?

Persoalan-persoalan yang timbul ini sekiranya berjaya dirungkai akan pasti memberikan petunjuk dan panduan, bagaimana kelangsungan para penggerak, kecantikan, keayuan dan kekacakan komitmen itu mampu diperteguh dan seterusnya dipertahankan.

Saudara-saudari yang dimuliakan,

Kebersamaan yang dibina berdasarkan tuntutan tauhid adalah suatu yang lebih mendasari dan sudah pasti mengikat diri kita, tidak kira dengan siapa kita bersama, penggerak yang lebih muda, lebih tua, lebih hebat, kurang hebat dan macam-macam lagi.

Wadah yang didokongi tidak berubah, akan tetapi latarbelakang peserta dan penggeraknya akan senantiasa berubah.  Adakah boleh kita pula mengatakan: “Saya dan awak sefahaman akan tetapi kita berbeza angkatan dan asal, saya kurang selesa bekerja dengan awak” ? atau seharusnya komitmen itu sentiasa diberikan, asalkan rakan sepasukan kita bergerak dengan tunjang yang sama?

Sahabat-sahabat yang dihormati,

Apabila kita semakin meningkat usia, tanggungjawab semakin meningkat, kesibukan kian memesat, kepada siapa pula yang kita harus sandarkan untuk diberikan peringatan? Adakah kita mampu tidak tersinggung sekiranya penggerak-penggerak junior memberikan pesanan? Atau kita lebih mudah untuk insaf sekiranya sahabat-sahabat baik kita yang tampil memberikan panduan dan menyediakan laluan kembali?

Rangkaian keluarga, sahabat, komuniti sekitaran dan keperluan memenuhi tuntutan hidup adalah suatu bentuk rangkaian yang akan pasti ditempuh oleh setiap daripada kita.  Cumanya yang akan menjadi persoalannya ialah, yang mana akan menjadi pemandu kita ke arah mencapai tujuan yang satu.

Saudara-saudariku sekalian,

Komitmen yang satu perlu diperteguh.  Rantaian perjuangan perlu ditegapkan dan dibuang segala karat-karat keciciran dan perpisahan.  Sasaran pergerakkan sudah dikenalpasti, haluan sudah ditentukan, ilmu ditimba menunggu untuk diamalkan.

Apa yang tinggal adalah komitmen para penggerak yang dipacu dan dipertingkatkan dengan alunan ukhuwwah yang jitu, berasaskan kehendak al-Qur’an dan as-Sunnah.

Ingatlah bahawa hanya dengan persefahaman, semangat kental yang tinggi serta tindakan yang ikhlas dan istiqamah sahaja yang boleh membawa ummah ke arah kecemerlangan.  Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Anfaal ayat 46:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar

Akhir kalam, perteguhkan ukhuwwah, perkukuhkan komitmen, demi mengagungkan kalimah Allah swt di bumi ini.

Ceramah UMUM – PAS Ganti UMNO – 2 Julai 2011 July 3, 2011

Posted by helaianpurnama in Umum, Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Pada hari Sabtu 2 Julai 2011 telah berlangsung satu ceramah umum yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Gelang Patah. Ceramah ini diadakan di Markas Tarbiyyah PAS Gelang Patah di Kg Ulu Pulai. Tetamu utama yang menjayakan majlis ceramah tersebut ialah YB Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR), Us Razali Jamil (AJK Dewan Ulama Negeri Johor), Dato’ Chua Jui Meng (Pengerusi PKR Negeri Johor) dan Tn Hj Dzulkefly Ahmad (Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor dan juga YDP PAS Gelang Patah).

Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 9 malam di pentas terbuka menerima bantahan daripada pihak polis, walaupun tapak ceramah yang dipilih merupakan tapak tanah persendirian. Hasil rundingan pihak penganjur dengan pihak polis, majlis ceramah diteruskan dan penceramah dibenarkan memberi ceramah di dalam markas. Para pengunjung ke ceramah juga terpaksa mengharungi sekatan jalan yang diadakan di simpang utama masuk ke Kg Ulu Pulai. Dari awal ceramah sehingga selesai pihak polis dengan beberapa trak, van, balai bergerak dan kereta peronda mengawasi perjalanan ceramah. Tidak dinafikan ramai pengunjung membatalkan niat menghadiri ceramah ini dengan melihatkan kehadiran ramai anggota keselamatan.

Ceramah dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Tn Hj Dzulkefly Ahmad yang juga adalah Penyelia Pusat Aduan Rakyat Nusajaya. Beliau menyentuh berkenaan insiden bunuh diri (gantung diri sendiri) oleh seorang pelajar Melayu Muslim berumur 15 tahun yang mengalami kemurungan.

Selepas beliau berucap, YB Azmin Ali meneruskan program ceramah pada malam itu. Beberapa isu utama yang dikupas oleh beliau ialah berkenaan penarikan subsidi kepada rakyat berjumlah 15 billion (11 billion untuk bahanapi dan 4 billion untuk makanan) berbanding dengan subsidi kepada IPP (independent power provider) berjumlah 19 billion. Tegas beliau, penarikan subsidi ini menunjukkan pihak memerintah tidak meletakkan kebajikan kepada rakyat sebagai keutamaan. Beliau juga berkongsi beberapa usaha kerajaan negeri Selangor yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan, sebagai contoh pemberian air percuma, tabungan kewangan pendidikan untuk anak-anak Selangor dari lahir sehingga mencecah usia 18 tahun, dan juga khairat kematian. Menurut beliau lagi,dengan pengalaman yang dikutip oleh setiap pemimpin Pakatan Rakyat yang memimpin di Kedah, Perak (walaupun seketika), Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, beliau yakin sistem pengurusan negara akan menjadi lebih baik dan terurus serta tidak akan berlaku ketirisan seperti sekarang (laporan Pejabat Audit Negara ketirisan perbelanjaan negara adalah berjumlah 28 billion ringgit).

Dalam kesempatan majlis ini juga YB Azmin Ali melancarkan Program Takaful Kifaalah anjuran PAS Kawasan Gelang Patah yang dimodelkan dari sistem yang telah berjalan di Negeri Kelantan. Takaful Kifalaah menetapkan premium berjumlah hanya RM 13.60 setahun dengan manfaat kematian: suami/isteri RM 1,000 dan anak-anak (3 orang) RM 500. Maklumat lanjut boleh menghubungi Timbalan YDP PAS Gelang Patah, Us Salehudin Md Dahiran (0137454671).

Selepas ucapan YB Azmin Ali, Yg Bhg Us Razali Jamil Al-Hafiz meneruskan majlis pada malam tersebut dengan menekankan peri penting pendokong gerakan Islam meletakkan pegangan pergerakkan di atas asas Al-Quran dan As-Sunnah dan bukannya hanya didorong oleh mainan isu semata-mata. Beliau menyatakan musuh-musuh Islam akan memperlekehkan hukum-hukum Allah seperti permainan isu video lucah sehinggalah memperlekehkan hal berkaitan pelaksanaan solat. Sekitar jam 11.46 malam, beliau memberhentikan ucapannya untuk memberi laluan kepada Dato’ Chua Jui Meng menyampaikan ucapan. Perkara utama yang disampaikan oleh Pengerusi PKR Johor ini ialah, peri pentingnya semua penggerak dan ahli parti komponen Pakatan Rakyat memainkan peranan dan menyokong Perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 minggu hadapan. Ujar beliau, adalah suatu kesilapan apabila suatu pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut penambahbaikkan kepada sistem pilihanraya dilabel sebagai suatu pertubuhan haram. Beliau juga kesal dengan sikap pihak lawan yang memomokkan rakyat dengan isu warna kuning, isu bersih, pengganas dan sebagainya.

Majlis tamat sekitar jam 12 tengah malam.